NOR Hasmadi anggap sejarah pahit buat KDA FC.
NOR Hasmadi anggap sejarah pahit buat KDA FC.
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyokong Kedah Darul Aman (KDA FC) terkilan dan kecewa selepas pasukan mereka dikenakan hukuman pemotongan tiga mata serta denda RM 50,000 pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 yang bakal bermula Mei depan.

Ini susulan kegagalan KDA FC membuat pembayaran penuh tunggakan gaji pemain dari skuad musim lalu selepas diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac lalu.

Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) Nor Hasmadi Hamzah berkata, hukuman itu menjadi sejarah pahit buat bola sepak Kedah dan mengejutkan penyokong kerana belum pernah terjadi sebelum ini.

"Nampak penat pada tempoh memasuki musim baharu ini, sudahlah mata kena potong, kami pula didenda dalam tunggakan yang masih belum dijelaskan sepenuhnya.

"Macam-macam halangan untuk ditempuhi memasuki musim baru ini, lepas satu bab, ke satu bab. Belum ada dalam sejarah bola sepak Kedah di mana mata dipotong sebelum memulakan liga, dan kami turut bersama pasukan dalam merasa setiap tekanan dihadapi musim ini.

"Oleh itu, kami mohon pihak atasan seperti kerajaan negeri atau orang atasan termasuk usahawan negeri agar tampil membantu jika kesulitan ini tidak dapat ditangani pihak KDA FC sendiri pada musim ini," katanya.

Dalam pada itu, Nor Hasmadi juga masih berharap pemilik KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dapat menyelesaikan masalah dihadapi bagi mengelak skuad kesayangan mereka 'hilang' dari radar Liga M musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 12:53 PM