GRIEZMANN diangkat pemain pertahanan Atletico Madrid, Jose Gimenez selepas menjaringkan gol ketiga mereka. FOTO AFP
GRIEZMANN diangkat pemain pertahanan Atletico Madrid, Jose Gimenez selepas menjaringkan gol ketiga mereka. FOTO AFP
AFP

Madrid: Jaringan Antoine Griezmann dan Rodrigo Riquelme pada masa tambahan membolehkan Atletico Madrid menang 4-2 ke atas Real Madrid dan mara ke suku akhir Copa del Rey, awal pagi tadi.

Sebelum itu, Barcelona menang 3-1 ke atas pasukan bahagian tiga, Unionistas de Salamanca untuk melepasi halangan pusingan 16 terbaik.

Atletico mempamerkan perjuangan menghiburkan di Stadium Rojiblancos' Metropolitano iaitu pertarungan kedua dalam tiga derby Madrid dalam masa sebulan dan kekalahan kedua Los Blancos' dalam semua kejohanan pada musim ini.

Real dua kali bangkit menyamakan kedudukan untuk mengheret Atletico ke masa tambahan apabila gol sendiri Jan Oblak menyamakan kedudukan selepas jaringan pembukaan Samuel Lino.

Joselu kemudian menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan selepas Morata meletakkan tuan rumah di depan sekali lagi.

Pada masa tambahan, Griezmann lolos dari sebelah kanan untuk menjaringkan gol pendahuluan sebelum gol Riquelme memberikan kelebihan selesa buat Atletico, sekali gus membalas dendam kekalahan 3-5 di tangan Real di separuh akhir Piala Super Sepanyol, minggu lalu.

Kekalahan itu menyaksikan rekod 21 perlawanan tanpa kalah Real berakhir.

"Saya tidak fikir Atletico mengatasi kami kerana kami menewaskan mereka beberapa hari lalu," kata pengendali Real, Carlo Ancelotti.

"Kami bermain permainan sempurna, berjuang dengan baik menentang pasukan lawan yang gagah."

Sekali lagi, kedua-dua pasukan berbalas serangan sejak awal dan percubaan Jude Bellingham terkena palang sebelum Atletico berada di depan apabila Lino menyempurnakan peluang dari jarak dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 8:34 AM