WOOD (kiri) menjaringkan gol ketiga Nottingham Forest, sekali gus melangkah ke pusingan keempat Piala FA. FOTO REUTERS
WOOD (kiri) menjaringkan gol ketiga Nottingham Forest, sekali gus melangkah ke pusingan keempat Piala FA. FOTO REUTERS
AFP

London: Nottingham Forest dan Everton mengenepikan kemungkinan dipotong mata pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mara ke pusingan keempat Piala FA, awal pagi tadi.

Forest mengatasi ancaman untuk menyingkirkan kelab bahagian tiga, Blackpool 3-2 selepas masa tambahan, manakala Everton menang 1-0 ke atas Crystal Palace dalam satu lagi aksi ulangan pusingan ketiga.

Ia sudah pasti berita gembira buat Forest dan Everton, yang kedua-duanya dirujuk kepada suruhanjaya bebas oleh EPL pada Isnin, selepas mengaku melanggar peraturan kewangan.

Ia berkaitan peraturan keuntungan dan keupayaan liga bagi musim 2022-23 dan mungkin berdepan hukuman pemotongan mata.

Pada ketiga Everton dan Forest kini bergelut dengan zon penyingkiran, jika hukuman itu dilaksanakan sudah pasti nasib mereka di liga utama tidak dapat dipastikan.

Everton sebelum ini dipotong 10 mata pada musim ini kerana melebihi kerugian yang dibenarkan pada kempen 2021-22, sekali gus menjadi pemotongan mata terbesar dalam sejarah EPL.

Blackpool memberi ancaman besar buat Forest sebelum skuad bimbingan Nuno Espirito Santo itu akhirnya melangkah dalam kelompok 32 pasukan terbaik.

Rembatan voli Andrew Omobamidele memastikan Forest di depan pada minit ke-16 dan ia penampilan pertama Omobamidele selepas ditandangani dari Norwich pada September.

Jaringan Danilo meletakkan Forest selesa selepas 53 saat babak kedua bersambung.

Bagaimanapun, Albie Morgan merapatkan jurang buat Blackpool sebelum Kyle Joseph menyamakan kedudukan pada minit ke-78.

Penyerang New Zealand, Chris Wood akhirnya menyelamatkan Forest menerusi jaringan pada minit ke-110.

"Kami perlu melakukannya dengan cara buruk sekali lagi. Kami membuatkannya sukar untuk diri sendiri," kata Wood.

Forest akan berdepan kelab bahagian dua, Bristol City, yang mengejutkan West Ham, pada Selasa.

Everton pula mara menerusi gol tunggal Andre Gomes pada minit ke-42 dan dan akan melayan Luton di pusingan keempat.

Ia adalah gol pertama Everton sejak 27 Disember selepas tiga perlawanan selepas itu berakhir tanpa jaringan/

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 7:53 AM