AINA meraikan jaringan pertama Forest. FOTO Reuters
AINA meraikan jaringan pertama Forest. FOTO Reuters
AFP

London: Nottingham Forest meraih kemenangan pertama dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas jaringan Ola Aina dan Orel Mangala membolehkan mereka menewaskan Aston Villa 2-0, malam semalam.

Forest menampilkan prestasi berbeza ketika melayan kunjungan skuad Unai Emery yang menduduki tangga kelima hasil enam kemenangan berturut-turut.

Namun Villa bermula hambar apabila Aina meletakkan Forest di depan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti minit kelima dan pelawat gagal bangkit selepas itu.

Penjaga gol Villa Emiliano Martinez yang dipilih pemenang Ballon d'Or sebagai penjaga gol terbaik dunia awal minggu ini melakukan kesilapan yang membolehkan Forest melebarkan jaringan pada awal babak kedua.

Tampanan Martinez susulan rembatan jarak jauh Mangala tidak cukup kuat yang membolehkan bola masuk ke gawangnya.

Kemenangan sangat diperlukan Forest itu melegakan Steve Cooper yang berdepan risiko menjadi pengurus pertama EPL yang dipecat musim ini.

"Kemenangan sangat berharga. Kami tahu kami menentang pasukan sedang di kemuncak prestasi dengan pemain mereka yang sangat bagus," kata Cooper.

"Saya gembira pemain beraksi seperti dirancang dan mematuhi arahan."

Forest mendaki ke tangga ke-12 carta dengan lapan mata di atas zon penyingkiran manakala Villa terlepas peluang melonjak ke kelompok empat teratas dan kekal di tangga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 8:09 AM