HOJLUND (kiri) mengasak pertahanan Luton Town dalam aksi EPL awal bulan ini.
HOJLUND (kiri) mengasak pertahanan Luton Town dalam aksi EPL awal bulan ini.
Agensi

London: Penyokong Manchester United optimis Rasmus Hojlund bakal menamatkan kemarau jaringan di Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menentang Everton Ahad ini.

Hojlund menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini tetapi masih tumpul dalam aksi EPL selepas berpindah ke Old Trafford pada musim panas dengan harga £72 juta (RM422 juta).

Dia menjaringkan dua gol ketika kelabnya tewas 4-3 di tangan Copenhagen awal bulan ini sekali gus memberi bayangan mampu menghadiahkan gol pertama liga untuk United.

Menjelang perlawanan EPL yang kembali bersambung esok, penyokong United yakin bintang muda Denmark itu dijangka menamatkan badi ketika menentang Everton.

Ini susulan Luke Shaw kembali menjalani latihan selepas tiga bulan tersisih akibat kecederaan otot.

Pemain berusia 28 tahun itu hanya dua kali beraksi dalam saingan liga sebelum dilanda kecederaan.

Kepulangannya dalam barisan kesebelasan di Goodison Park dialu-alukan penyokong United di media sosial apabila mereka percaya Hojlund akan mendapat faedah daripada pertahanan kiri England itu.

Seorang pengguna X berkata: "Sebaik Shaw kembali, Hojlund akan mula berpesta."

Pengguna kedua pula menambah: "Saya jangka jumlah gol Hojlund akan bertambah dengan adanya Shaw."

Menurut yang ketiga: "Shaw kembali, Hojlund akan mula 'makan'!". Manakala peminat keempat berpendapat: "Saya jangka Shaw akan menghantar bola kepada Hojlund untuk gol pertamanya hujung minggu ini.

Di sebalik kemarau jaringan Hojlund dalam saingan EPL, Erik ten Hag tidak bimbang dan menegaskan pemain berusia 20 tahun itu menghapuskan badi.

"Jika anda jaringkan lima gol di Liga Juara-Juara, anda juga akan jaringkan gol di EPL, ia hanya mengenai masa," kata pengurus dari Belanda itu.

"Selagi kami beraksi sebagai satu pasukan, mencipta peluang dan selagi dia yakin, saya percaya dia akan mula menjaringkan gol."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 10:05 AM