KOREA hadir selaku pasukan pilihan di Piala Asia. FOTO KOREA FOOTBALL TEAM
KOREA hadir selaku pasukan pilihan di Piala Asia. FOTO KOREA FOOTBALL TEAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya pastinya mula merasai bahang Piala Asia termasuk dalam saingan Kumpulan E selepas Korea Selatan melaungkan sasaran untuk muncul juara kejohanan itu.

Menurut pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann, beliau meletakkan sasaran menjuarai Piala Asia di Qatar nanti, sekali gus memberi amaran buat Malaysia berada sekumpulan dengan skuad Taeguk Warriors itu dalam Kumpulan E.

Dalam kumpulan itu, dua lagi pasukan Asia Barat iaitu Bahrain dan Jordan turut menjadi pencabar Malaysia dan Korea Selatan nanti.

"Saya sangat yakin dengan pasukan ini kerana kami memiliki ramai pemain berkualiti yang berada di puncak prestasi ketika ini.

"Sudah tentu jika ditanya mengenai sasaran, saya meletakkan impian untuk bergelar juara Piala Asia nanti kerana ia tidak mustahil.

"Cuma, ia perlukan kerja keras dan komitmen daripada semua pemain untuk merealisasikan impian tersebut," kata pengendali import kelahiran Jerman itu.

Pada saingan Piala Asia nanti, Korea Selatan dijadualkan bertemu Bahrain pada 15 Januari disusuli aksi menentang Jordan (20 Januari) sebelum mengakhiri saingan kumpulan menentang skuad Harimau Malaya pada 25 Januari.

Malaysia sudah hampir 35 tahun tidak menentang skuad gergasi Asia Timur itu dalam sebarang perlawanan kompetitif apabila kali terakhir perlawanan adalah pada 1989 untuk aksi kelayakan Piala Dunia 1990.

Pada saingan itu, Malaysia tewas dua kali kepada Korea Selatan pada aksi kelayakan Kumpulan 4 dengan perlawanan dilangsungkan di Seoul dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 4:56 PM