Bekas pemain kebangsaan, Yazid beraksi pasukan JDT musim depan. -FOTO Mohd Rafi Mamat
Bekas pemain kebangsaan, Yazid beraksi pasukan JDT musim depan. -FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Bekas pemain kebangsaan, Yazid Kamaruzuan memberi jaminan untuk memberi yang terbaik pada pasukan futsal Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam usaha skuad Harimau Selatan memburu kejayaan musim depan.

Menurut bekas pemain Selangor TOT United dan Pahang Rangers FC itu, sebagai pemain profesional dia ingin beralih angin apabila mendapat tawaran yang dianggap terbaik.

Katanya, kontraknya bersama JDT setahun (2024) yang akan memberi peluang terbaik kepadanya membuktikan kebolehan dan pengalaman yang dimiliki.

"Bersama pasukan JDT yang musim kedua bersaing dalam Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) diharap mencetuskan kejayaan diharapkan walaupun bukan mudah untuk melakar kejuaraan.

"Pasukan JDT membariskan gandingan pemain muda dan senior yang dilihat kini semakin berkesan, kelebihan itu akan digunakan sepenuhnya untuk bersaing dengan pasukan lain," katanya.

Beliau menambah, dia akan buktikan pemilihan JDT terhadap dirinya tidak sia-sia, gandingan bersama pemain muda diharap mampu mencetuskan kejayaan bermakna buat skuad Harimau Selatan musim depan.

Yazid yang mirip orang putih berusia 31 tahun sememangnya terkenal sebagai pemain yang versatil dan mempunyai penyudah tajam serta sifat kepimpinan tinggi dimilikinya berjaya mencuri tumpuan barisan kejurulatihan JDT yang diketuai Juan Antonio Miguel Garcia untuk membawanya ke kelab itu dalam musim kedua mereka di MPFL.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 5:15 PM