Kuantan: Pemain skuad futsal kebangsaan, Muhamad Ridzwan Bakri memberi jaminan untuk terus bersama pasukan Pahang Rangers selagi tenaganya diperlukan jaguh Pantai Timur itu.
Menurutnya, dia begitu selesa mencurahkan tenaga bersama Pahang Rangers sambil meniti episod memburu kejayaan yang begitu gemilang musim ini apabila menjulang dua kejuaraan Piala Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) dan Piala Futsal Malaysia.
Katanya, selepas terkandas pada dua perlawanan akhir musim lalu, kebangkitan drastik berjaya dicipta hasil kesungguhan pemain dibantu percaturan corak permainan oleh jurulatih Gerard Casas.
"Kontrak saya bersama skuad Pahang Rangers akan berakhir musim depan, selepas itu terpulang pada pihak pengurusan Pahang Rangers untuk menawarkan kontrak baharu atau sebaliknya.
"Secara ikhlas saya seronok bermain dengan pasukan Pahang Rangers terutama apabila berjaya mencipta sejarah dengan merangkul dua kejuaraan musim ini yang menjadi detik bersejarah begitu manis," katanya, dihubungi di sini hari ini.
Menurut pemain Pahang Rangers kelahiran Tawau, Sabah itu, dia kini menumpukan perhatian menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan.
Muhamad Ridzwan berkata, kali ini musim ke 13 dia terpilih membawa cabaran pasukan futsal negara beraksi di pentas antarabangsa.
Katanya, dia akan berusaha memberi persembahan terbaik sekiranya diberi peluang turun beraksi sepanjang saingan kelayakan Piala Asia Futsal yang menghimpunkan pasukan terbaik Asia.
"Kali pertama pasukan negara di bawah kendalian ketua jurulatih, Rakphol Sainetngam diharap mencetuskan kejayaan yang diharapkan, gandingan pemain muda dan senior menjadi senjata baharu untuk tampil menyerlah.
"Saya yakin pasukan negara mampu menyerlah dan melangkah lebih jauh pada saingan kelayakan Piala Asia Futsal kali ini walaupun bakal berhadapan tentangan sengit pasukan Iraq, Uzbekistan dan Kemboja yang berada dalam kumpulan G," katanya.