HOWE akui skuadnya bakal tempang lawan Chelsea.
HOWE akui skuadnya bakal tempang lawan Chelsea.
Reuters

London: Pengurus Newcastle United Eddie Howe berdepan dilema selepas beberapa tonggak skuad itu belum pasti dapat beraksi menentang Chelsea dalam saingan suku akhir Piala Liga awal pagi esok.

Pertahanan Fabian Schar dan pemain tengah Joelinton mengalami kecederaan ketika Newcastle menewaskan Fulham Ahad lalu tetapi pemeriksaan lanjut ia tidak terlalu teruk namun Howe tampak enggan menanggung risiko.

"Ketiadaan Fabby tamparan hebat kepada pasukan," katanya merujuk situasi Schar.

Penyerang Alexander Isak turut tidak beraksi pada Ahad lalu akibat kecederaan pangkal paha tetapi tak terlalu serius, tambah Howe lagi.

"Kami perlu merawatnya dengan berhati-hati bagi memastikan dia tidak terus tersisih untuk tempoh enam atau tujuh minggu. Dia berpeluang bermain esok tetapi kami perlu menunggu sehingga saat akhir," kata pengendali Inggeris itu.

Namun Newcastle menarik nafas lega selepas kehadiran semula pertahanan tengah Sven Botman yang sebelum ini berehat tiga bulan akibat kecederaan.

"Ada pemain tertentu yang mampu mengubah nasib pasukan dan Sven antaranya. Dia memberikan keyakinan kepada pemain sekelilingnya dan mampu mencipta perbezaan besar," kata Howe lagi kepada wartawan.

Newcastle tidak pernah menjuarai Piala Liga dengan kejayaan terbaik mereka muncul naib juara 1976 dan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 6:21 PM