AKSI Burn (kanan) ketika menentang Arsenal, Ahad lalu.
AKSI Burn (kanan) ketika menentang Arsenal, Ahad lalu.
Reuters

Dortmund, Jerman: Pertahanan Newcastle United, Dan Burn bakal berehat panjang selepas mengalami kecederaan belakang, menurut pengurus Eddie Howe menjelang aksi menentang Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara Kumpulan F, awal pagi esok.

Burn, 31, terjatuh selepas melakukan tandukan ketika menewaskan Arsenal 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tidak tampil pada babak kedua.

"Dan Burn diketepikan untuk tempoh lama, mungkin beberapa bulan akibat kecederaan belakang. Tamparan buat kami," kata Howe ketika sidang media malam tadi.

"Bukan itu sahaja posisi yang kami hilang. Kami juga kehilangan kemampuannya beraksi di pertahanan tengah. Tetapi kami perlu hadapinya," katanya merujuk keupayaan Burn bermain di posisi pertahanan kiri.

Dortmund menang 1-0 di St James' Park bulan lalu, melonjak ke tangga kedua dengan empat mata bersama Newcastle yang berada di tangga ketiga manakala Paris St Germain selaku pendahulu kumpulan dengan enam mata.

Skuad Howe memburu kemenangan di Signal Iduna Park walaupun berdepan krisis kecederaan termasuk beberapa tonggak seperti Sven Botman, Alexander Isak, Harvey Barnes, Elliot Anderson dan Jacob Murphy ketika kedua-dua pasukan bertarung untuk tempat ke peringkat 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 1:04 PM