Pemain JDT, Akhyar Rashid (19) diasak pemain PKNP FC, Filemon Anyie Standly (27) pada aksi di Stadium Larkin. FOTO NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
Pemain JDT, Akhyar Rashid (19) diasak pemain PKNP FC, Filemon Anyie Standly (27) pada aksi di Stadium Larkin. FOTO NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali merampas kedudukan teratas dari Pahang selepas mudah menjinakkan PKNP FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Yang pasti kekalahan PKNP FC tampak sadis selepas mengharungi enam perlawanan liga, skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim terus menderita tanpa sebarang kemenangan dan situasi itu mengundang persoalan kemampuan pasukan kelab dari Perak itu mengharungi kempen liga pada musim ini.

Dalam perlawanan itu, gandingan Luciano Figueroa dan Benjamin Mora yang membimbing JDT melakukan rombakan dengan menampilkan buat pertama Akhyar Rashid dalam kesebelasan utama sambil merehatkan Safawi Rasid selain turut menyenaraikan S Kunanlan dan Nazmi Faiz Mansor.

Percubaaan awal JDT hadir pada m-15 selepas bola sepakan percuma Nazmi Faiz ditanduk kapten Hariss Harun namun bola tersasar di sebelah kanan gawang gol PKNP FC walaupun cuba dihalang penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.

Rembatan Leandro Velazquez m-25 selepas bola tumbukan Shafiq Afifi hasil bola sepakan lintang Kunanlan masih belum mampu menjelmakan jaringan tatkala tuan rumah menguasai keseluruhan permainan.Akhirnya selang dua minit kemudian, Velazquez melegakan kem JDT selepas berjaya menjaringkan gol berpunca dari bola rembatan Diogo Luis Santo gagal ditangkap kemas Shafiq Afifi dan kesempatan itu digunakan sepenuh pemain tengah JDT itu untuk merembat bola kencang menerjah jaring.

Akibat terjahan keras dari belakang oleh Giancarlo Rodrigues terhadap Luis Santo di dalam kotak penalti pada m-35, pengadil perlawanan, Khirulazuan Kidam tidak teragak-agak memberi sepakan penalti kepada tuan rumah dan penyerang import termahal Liga Malaysia (Liga M) mudah menyepak masuk menewaskan Shafiq Afifi.

Tuan rumah meraih sepakan penalti kedua pada minit ke-40 selepas tindakan Shafiq Afifi menjatuhkan Luis Santo di dalam kotak penalti tatkala penyerang Harimau Selatan itu berada di posisi terbaik menjaringkan gol dan giliran Gonzalo Cabrera memastikan tuan rumah selesa dengan jaringan 3-0 sebelum menamatkan babak pertama perlawanan.

Penguasaan permainan diteruskan tuan rumah sebaik babak kedua bermula dan sering mengundang resah di benteng pelawat yang terpaksa bertungkus lumus menghalang kelicikan Cabrera dan Luis Santo daripada menambah jaringan.

Kedudukan 3-0 yang terhasil pada babak pertama kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 11:07 PM