NATHANIEL Phillips (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika bertemu Burnley. FOTO EPA
NATHANIEL Phillips (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika bertemu Burnley. FOTO EPA
AFP

London: Jurgen Klopp berkata impian Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara 'bergantung kepada diri sendiri' dalam usaha mereka menebus kehampaan musim ini dengan cuba menamatkan saingan Liga Perdana di kelompok empat terbaik.

Liverpool bersaing bersama Chelsea dan Leicester untuk baki dua slot lagi ke saingan Liga Juara-Juara musim depan dengan tempat Manchester City dan Manchester United sudah terjamin.

Skuad bimbingan Klopp berkongsi 66 mata dengan Leicester namun mempunyai kelebihan perbezaan jaringan sekali gus bermakna apa yang perlu dilakukan Liverpool apabila bertemu Crystal Palace di halaman sendiri esok adalah menyamai keputusan diraih Leicester bertemu Tottenham.

Chelsea yang menduduki tangga ketiga, lebih satu mata berbanding Liverpool dan Leicester, akan berkunjung ke Aston Villa.

Pada pertengahan Mac, Liverpool ketinggalan lapan mata daripada pasukan tangga keempat liga tetapi mereka kini sudah mengumpul 23 daripada 27 mata maksimum dan tidak tewas sepanjang sembilan perlawanan.

"Kami sudah mula menemui kestabilan, membentuk keyakinan dan menjaringkan gol pada masa yang tepat selain kurang dibolosi," kata Klopp.

Bagaimanapun beliau memberi amaran prestasi cemerlang Liverpool sejak kebelakangan ini tidak memberi kesan kepada pertemuan dengan Palace yang dibimbing bekas bos Liverpool, Roy Hodgson yang akan bersara selepas itu.

"Tiada siapa yang mengharapkan perlawanan sempurna seperti mendahului lebih awal," kata Klopp yang menyaksikan barisan pemainnya membelasah Palace 7-0, Disember tahun lalu.

"Anda perlu terus bersaing dan menghormati Crystal Palace. Mereka pasti mahu memberikan sesuatu kepada Roy yang kali terakhir menggalas tugas sebagai pengurus."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 7:52 AM