FORESTIERI kekal bersama JDT. -FOTO NSTP
FORESTIERI kekal bersama JDT. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Juara 10 kali berturut-turut Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat pusingan U apabila mengekalkan ayam tambatan mereka Fernando Forestieri untuk saingan Liga Super 2024/2025.

Situasi terbabit disahkan Ketua Pegawai Eksekutif JDT Alistair Edwards yang menyatakan pemain berusia 34 tahun itu akan terus memperkuatkan kelab yang berpangkalan di Selatan tanah air itu.

"Berikutan perbincangan bersama pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Fernando Forestieri dan saya sendiri, penyerang tersebut akan kekal dalam skuad Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim.

"Serta tiga pemain antarabangsa baharu akan mengukuhkan pasukan secara strategik di beberapa posisi untuk musim 2024/25." katanya, menerusi kenyataan di laman sosial Johor Southern Tiger.

Sebelum itu, penyerang berbisa terbabit diumumkan akan meninggalkan JDT bagi saingan Liga Super 2024/2025.

Mengikut rekod, pemain terbabit adalah sebahagian daripada skuad Harimau Selatan yang mencipta sejarah memenangi 'double quadruple' pada 2022 dan 2023.

Forestieri bersama dua lagi pemain import JDT, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo sebelum ini disahkan yang tidak lagi bersama pasukan itu bagi musim baharu nanti.

Selain tiga pemain import, beberapa pemain tempatan seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri dan Adam Nor Azlin turut meninggalkan JDT selepas lama berkhidmat untuk pasukan terbabit.

Beberapa pemain pula dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 1:41 PM