SALOMON Rondon. Foto REUTERS
SALOMON Rondon. Foto REUTERS
Reuters

NEWCASTLE United melengkapkan perpindahan penyerang Venezuela, Salomon Rondon sebagai pemain pinjaman untuk jangka panjang dari West Bromwich Albion, dengan penyerang, Dwight Gayle berpindah ke pasukan itu sebagai syarat pertukaran.

Rondon, pemain keenam yang diikat Newcastle sebelum musim ditutup meledak 10 gol sepanjang 40 perlawanan dalam semua pertandingan, ketika bersama West Brom musim lalu yang mana menyaksikan mereka tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengurus Newcastle, Rafael Benitez, lantang bersuara mengenai keperluan kelab itu mendapatkan pemain baharu pada jendela perpindahan, gembira dengan kehadiran Rondon.

“Ketika kami mencari siapa yang perlu berada di barisan depan, kami sedar bertapa pentingnya pengalaman.

“Salomon sudah beraksi dalam Liga Perdana untuk satu tempoh lama dan kami tahu betapa pentingnya dia dalam pasukan,” katanya.

Rondon, 28, berkata, dia sedar keinginan Benitez untuk mendapatkan khidmatnya.

“Ia satu penghormatan berada di sini dan saya teruja untuk bermula dengan pasukan baru. Kelab sudah lama berbincang mengenainya,” katanya.

Sementara itu, Gayle, 27, juga memainkan peranan penting untuk Newcastle ketika kembali beraksi dalam saingan utama pada 2017 dengan meledak 23 gol sepanjang 32 penampilan bersama kelab itu.

Dia mendapati sukar untuk mempertahankan kedudukannya di Liga Perdana apabila hanya menjaringkan enam gol sepanjang 37 penampilan, pada musim lalu.

Ketua Jurulatih West Brom, Darren Moore berkata, rekod Gayle dalam Liga Kejuaraan adalah faktor penting untuk mereka mengambilnya sebagai pinjaman.

“Perjanjian ini adalah demi kepentingan kedua-dua pasukan,” kata Moore.

“Dwight membuktikan dia sebagai antara penjaring dalam Liga Kejuaraan. Dia tajam dan pantas ketika berada di belakang pertahanan lawan dan dia akan menambah ancaman gol untuk kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 9:13 AM