DARYL Sham (kiri) cuba menggelecek pemain Kuching City FC, Amir Amri Salleh pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. FOTO BERNAMA
DARYL Sham (kiri) cuba menggelecek pemain Kuching City FC, Amir Amri Salleh pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. FOTO BERNAMA
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampir mengekalkan rekod bersih tanpa tewas pada musim ini selepas menang 2-0 ke atas Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Rombakan kecil dilakukan pengendali JDT, Esteban Solari apabila tidak menurunkan enam tonggak utama pemain Harimau Malaya yang baru pulang dari tugasan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Taiwan, 21 November lalu kecuali Shahrul Saad dan Syahmi Safari yang berada dalam kesebelasan utama.

Buat pertama kali, Solari memberi kepercayaan untuk Daryl Sham George beraksi dalam kesebelasan utama menentang skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak yang turun dengan usaha menebus kekalahan 0-4 pada 19 Mei lalu, namun tanpa kelibat Abu Kamara dan Petrus Shitembi.

Sebaik babak pertama bermula, JDT kerap menggempur menerusi Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva.

Pemain Kuching City lebih gemar berkampung di kawasan sendiri menyebabkan JDT hanya memperoleh gol pertama menerusi rembatan deras Bergson pada minit ke-34.

JDT menambah gol ketika aksi babak pertama berbaki tiga minit apabila Juan Muniz tidak mensia-siakan bola sepakan percuma dari luar kotak penalti yang tepat ke penjuru kiri gawang gol lawan.

Pada minit ke-54, JDT hampir menambah jaringan, namun rembatan susulan Daryl Sham hanya sekadar terkena palang gol.

Ternyata taktikal Aidil Shahrin yang mengarahkan barisan pemainnya 'berkampung' di benteng pertahanan membuahkan hasil bagi mengelak menjadi pasukan belasahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 10:32 PM