JURULATIH Republik Czech, Jaroslav Silhavy (kiri) memberi penjelasan kepada pemainnya pada sesi latihan menjelang pertarungan suku akhir dengan Denmark, esok. FOTO EPA
JURULATIH Republik Czech, Jaroslav Silhavy (kiri) memberi penjelasan kepada pemainnya pada sesi latihan menjelang pertarungan suku akhir dengan Denmark, esok. FOTO EPA
AFP

Baku: Jurulatih Republik Czech, Jaroslav Silhavy hari ini berkata, semangat sepasukan Denmark akan menjadi igauan utama buatnya pada suku akhir Euro 2020, esok.

Czech yang menewaskan Belanda di pusingan kedua akan berdepan Denmark yang memiliki emosi tinggi daripada kempen berliku sepanjang kejohanan di Baku.

"Pasukan Denmark memiliki semangat sepasukan dan semangat melawan sangat tinggi," kata Silhavy kepada media ketika ditanya mengenai pemain terbaik Denmark.

"Itu adalah kuasa sangat besar. Denmark tiada pemain bintang, tetapi membentuk pasukan hebat bersama-sama dan gaya mereka hampir sama dengan kami.

"Kami perlu menyaingi mereka daripada segi kerja keras dan sikap dan kami boleh melakukannya. Saya jangka perlawanan akan seimbang, penuh dengan aksi bentesan dan ditentukan semua aspek.:

Silhavy berkata, semua pemainnya cergas sepenuhnya dan bersedia diturunkan seperti dia menggunakan tiga pemain gantian yang cemerlang ketika bertemu Belanda.

Kapten, Vladimir Darida, yang tidak beraksi di Budapest kerana cedera kaki, berkata, dia cergas untuk diturunkan.

"Denmark tidak mewah dan bergaya seperti Belanda, Perancis atau Itali, tetapi mereka adalah lawan bagus dan kuat. Kami tidak nampak kedudukan kami sebagai pasukan pilihan, tapi kami mahu terus mara," kata pemain tengah Hertha Berlin itu.

Silhavy dan Darida turut menyentuh mengenai gelanggang pertarungan iaitu suhu agak panas di Baku dan stadium lebih kosong, berbanding Puskas Arena yang penuh ketika perlawanan dengan Belanda, Ahad lalu.

"Ia luar biasa dan akan menjadi pengalaman berbeza bagi semua penyokong Czech," kata Silhavy.

"Kami minta maaf kerana suasananya tidak sama seperti di Budapest, tetapi keadaannya tetap sama bagi kedua-dua pasukan iaitu turun padang untuk menang."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 11:43 PM