TMJ tempelak penyokong. -FOTO NSTP
TMJ tempelak penyokong. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim 'sound' penyokong yang sering mempersoal corak permainan beberapa pemain Harimau Malaya ketika aksi berdepan Kyrgyzstan, Khamis lalu.

Hal ini kerana, terdapat segelintir penyokong dilihat 'seronok' mengkritik dan membuat perbandingan persembahan beberapa pemain Harimau Malaya ketika aksi sulung Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim(JDT) menganggap semua pihak khususnya penyokong patut bersyukur Harimau Malaya berjaya meraih kemenangan penting dalam perlawanan itu.

Beliau berkata, penyokong juga tidak seharusnya menjatuhkan semangat pemain yang sudah memberikan segala-galanya untuk membantu pasukan negara.

"Sudah menang syukur sahajalah. Lagi nak bising-bising menuding jari sini sana menjatuhkan semangat pemain negara sendiri. Semua pemain sudah beri segalanya, result (keputusan) pun Alhamdulillah.

"Awak nak jadi coach (jurulatih) ini kerja dalam industri bola sepak ke? Ada menang apa-apa ke? Support (sokong) saja pasukan kebangsaan dan diam lebih baik," katanya menerusi satu komen yang dibuat beliau di laman Instagram, ekorharimaumalaya, semalam.

Khamis lalu, Harimau Malaya mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila bangkit dari ketinggalan 1-3 untuk menewaskan Kyrgyzstan yang berada di ranking ke-97 dunia dengan keputusan 4-3.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon menghuni tangga kedua Kumpulan D, berkongsi tiga mata bersama pendahulu, Oman yang menewaskan Taiwan 3-0.

Harimau Malaya seterusnya akan berdepan pasukan di ranking 152 dunia, Taiwan di Stadium Perbandaran, Taiwan, Selasa ini dalam usaha meraih kemenangan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 3:11 PM