JUDE Bellingham memenangi anugerah Kopa khas di Majlis Ballon d'Or, di Paris, awal pagi tadi. FOTO X Ballon d’Or
JUDE Bellingham memenangi anugerah Kopa khas di Majlis Ballon d'Or, di Paris, awal pagi tadi. FOTO X Ballon d’Or
Agensi

Paris: Bintang muda meningkat naik, Jude Bellingham berjanji lebih banyak trofi bakal diraih sama ada bersama Real Madrid mahupun England selepas dia memenangi anugerah Kopa sebagai pemain terbaik bawah 21 tahun di Majlis Ballon d'Or, di Paris, awal pagi tadi.

Jelasnya, kejayaan merangkul anugerah terbabit selain tersenarai dalam 18 pemain terbaik Ballon d'Or untuk berada di belakang Lionel Messi yang muncul pemenang bagi kali kelapan diakui cukup membanggakan.

"Saya yakin dengan kemampuan saya, tetapi mereka membantu saya menzahirkannya. Bagi saya apa yang penting ialah trofi bersama pasukan.

"Kini saya sudah mendapat trofi ini, dan saya akan cuba membantu Madrid serta England memenangi trofi," kata Bellingham.

Pemain Barcelona, Gavi dan Pedri turut tercalon untuk anugerah berkenaan, selain rakan sepasukan Bellingham, Eduardo Camavinga.

Ujarnya lagi, dia berterima kasih kepada pengurusan kelab Real Madrid dan skuad kebangsaan England serta peminat yang sentiasa menyokong kariernya.

"Malam yang indah di Ballon d'Or pertama saya dan saya amat berbesar hati dianugerahkan trofi Kopa ini. Terima kasih kepada semua rakan sepasukan, kakitangan dan jurulatih yang membantu dan memberi sokongan kepada saya sehingga ke tahap ini.

"Akhirnya sudah tentu terima kasih kepada peminat. Sekarang masa untuk terus bekerja dan paling adalah memburu kejayaan dan trofi bersama pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 9:49 AM