SKUAD Imigresen FC muncul juara Liga M3. FOTO FB IMIGRESEN FOOTBALL CLUB
SKUAD Imigresen FC muncul juara Liga M3. FOTO FB IMIGRESEN FOOTBALL CLUB
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Imigresen FC (IFC) masih dalam dilema sama ada mahu maju setapak dengan beraksi di Liga Super atau terus kekal dalam saingan M3.

Presiden IFC, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama barisan kepimpinan dan kejurulatihan untuk menentukan hala tuju pasukan terbabit.

Beliau berkata, perkara utama perlu difikirkan adalah mengenai kewangan dan kemampuan pasukan memandangkan saingan Liga Super lebih hebat terutama menentang pasukan bertaraf gergasi, sekali gus memerlukan komitmen serta perbelanjaan tinggi untuk bersaing.

"Soal layak, apabila kita menjuarai liga, peluang ke Liga Super memang ada, tapi kita lihat kepada kemampuan untuk bersaing di sana.

"Kita tak nak ke Liga Super dan menjadi pasukan belasahan. Itu saya akan fikirkan kerana biar betul-betul bersedia baru pergi, setakat ini belum ada sebarang keputusan," katanya.

Sebelum itu, IFC dinobatkan sebagai juara Liga M3 selepas menang 1-0 ke atas Melaka FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris itu dinobatkan juara selepas mengutip 55 mata manakala pesaing terdekat KL Rovers memperoleh 54 mata selepas seri 1-1 menentang Harini FC.

Sementara itu, Zakaria berkata, IFC sememangnya menyimpan hasrat untuk bersaing di Liga Super kerana sudah pastinya akan meningkatkan lagi 'nama' pasukan seterusnya mendapat lebih banyak tajaan daripada pihak tertentu.

"Kewangan dan kemudahan menjadi persoalan kerana kita bukan seperti PDRM (Polis Diraja Malaysia), tentera (ATM) yang ada stadium sendiri dan pasukan yang mantap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 6:07 PM