AFFIN Bank.
AFFIN Bank.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd meraih 'Sebutan Terhormat' bersempena Anugerah Kewangan PKS Global 2021 bagi kategori Inovasi Produk Tahunan berikutan pembangunan aplikasi mudah alihnya yang inovatif, SME Colony.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, pengiktirafan global itu adalah contoh amalan terbaik dalam menyediakan inisiatif rangkuman kewangan terkemuka bagi menyokong pertumbuhan dan kemampanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Selain meningkatkan pengetahuan bidang kewangan kepada PKS dan meningkatkan penggunaan digital yang kekal menjadi keutamaan bank ini, kami berhasrat untuk terus memberikan perkhidmatan kepada komuniti PKS sebagai bank pilihan dengan menawarkan pelbagai produk yang relevan kepada PKS – tunjang pembangunan ekonomi negara," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Anugerah Kewangan PKS Global dianjurkan oleh Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) dan SME Finance Forum selain disokong oleh Global Partnership for Financial Inclusion (GPFI) G20.

Ia meraikan pencapaian cemerlang institusi kewangan dan syarikat teknologi kewangan yang menyediakan produk dan perkhidmatan yang luar biasa kepada PKS dan membantu perniagaan mereka untuk berkembang.

Aplikasi mudah alih SME Colony yang dilancarkan pada 2019 adalah platform digital pertama di Malaysia untuk membantu PKS meningkatkan ilmu perniagaan, mengukuhkan kesejahteraan kewangan dan memperluas rangkaian komersial mereka melalui platform digital tanpa sebarang kos dan prasyarat keahlian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 2:33 PM