LEWANDOWSKI (dua dari kanan) cuba melepaskan rembatan ketika berdepan Mallorca. FOTO AP
LEWANDOWSKI (dua dari kanan) cuba melepaskan rembatan ketika berdepan Mallorca. FOTO AP
AFP

Barcelona: Penyudah tajam Robert Lewandowski membantu Barcelona ke puncak La Liga apabila mereka menang tipis 1-0 ke atas Real Mallorca.

Marc-Andre ter Stegen kekal tanpa bolos lima kali berturut-turut dalam saingan utama liga Sepanyol itu, manakala rembatan cantik Lewandowski pada minit ke-20 sudah cukup untuk membantu Barcelona satu mata mengatasi Real Madrid.

Pasukan bimbingan Xavi Hernandez itu seperti membuktikan bahawa mereka sudah kembali bangkit berikutan pelbagai masalah musim lalu, ia termasuk dengan memantapkan bahagian pertahanan dan juga serangan.

Xavi juga berjaya meraih rekod baru peringkat domestik apabila 18 kali belum tumpas saingan liga mengatasi bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane.

Ter Stegen yang memulakan aksi musim ini pada prestasi kemuncak, juga mengetepikan rekodnya sendiri 500 minit tanpa bolos di La Liga, dia sekarang ini mencatatkan 534 minit.

Selain itu, Lewandowski juga berada di tangga teratas penjaring terbanyak apabila meledak sembilan gol daripada tujuh perlawanan.

"Kemenangan ini akan membantu kami menjelang beberapa minggu yang sangat sukar," kata Ter Stegen kepada Movistar.

"Rekod itu tidak sepenting kemenangan. Saya pasti ia akan memberi keyakinan kepada saya. Kemenangan ini meletakkan anda dalam dinamik yang baik, permainan ini amat bermakna.

"Mereka membantu kami mengekalkan tekanan ke atas Real Madrid."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 10:51 AM