AKSI pemain AMD (berjersi merah) dan Shonan Bellmare pada perlawanan tempat ketiga dan keempat bawah 14 tahun. -FOTO Mohd Rafi Mamat
AKSI pemain AMD (berjersi merah) dan Shonan Bellmare pada perlawanan tempat ketiga dan keempat bawah 14 tahun. -FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Buriram United menepati ramalan menjulang kejuaraan selepas mudah menewaskan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 6-0 pada perlawanan akhir bawah 14 tahun Piala Supermokh 2023 di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, hari ini.

Jurulatih Buriram United, Naruepat Nongnuan berkata, pemain yang diturunkan pada perlawanan akhir hari ini mengikut setiap arahan yang diberikan.

Menurutnya, walaupun pemain penat apabila terpaksa bermain setiap hari sepanjang lima hari kejohanan, namun hari ini mereka tetap tampil dengan penuh semangat demi untuk menjulang kejuaraan.

"Saya tidak menyangka sebanyak enam gol dapat dihasilkan pemain Buriram United kerana lawan (SSBJ) antara pasukan terbaik pada kejohanan kali ini.

"Kita berjaya menjaringkan empat gol pada babak pertama dan dua gol separuh masa kedua, prestasi pemain yang berada di kemuncak membolehkan kemenangan dapat disempurnakan dengan berkesan," katanya.

Beliau menambah, kejohanan Piala Supermokh menjadi gelanggang pemain bawah umur 12, 13 dan 14 tahun menimba pengalaman beraksi dengan pemain sebaya dengan mereka, pujian harus diberikan pada penganjur pertandingan berkenaan yang memasuki musim ke tujuh.

Sementara itu, bagi jurulatih SSBJ, Nik Juhaisham Tarmizi Juhari berkata pemain SSBJ telah berusaha sedaya upaya mencatat kemenangan pada perlawanan akhir hari ini, namun nasib tidak menyebelahi pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 5:35 PM