PASUKAN AMD Dream muncul juara B-13 tahun Piala Supermokh 2023 di AMD Gambang. STR/MOHD RAFI MAMAT
PASUKAN AMD Dream muncul juara B-13 tahun Piala Supermokh 2023 di AMD Gambang. STR/MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Dream dinobatkan sebagai juara bawah 13 tahun selepas menewaskan Lech Poznan FC 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada perlawanan akhir Piala Supermokh 2023 di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, hari ini.

Gol tunggal tuan rumah disumbang pemain sayap kanan, Muhammad Amirul Haziq Ismail pada minit ke-28, sementara jaringan pelawat menerusi pemain lincah, Pisarek Bogdan pada minit ke-61.

Ketua jurulatih AMD Dream, Ekhsan Bukhara Badarul Hisham berkata kemenangan pada perlawanan akhir hari ini hasil kesungguhan barisan pemain yang bercita-cita besar untuk menjulang kejuaraan.

Sokongan pasukan kejurulatihan dan pengurusan melengkapkan kekuatan pasukan musim ini.

"Pada perlawanan akhir hari ini, beberapa peluang menghasilkan jaringan telah terhidang namun disebabkan jentera serangan kurang menyerlah memaksa kita melangkah ke penentuan sepakan penalti yang begitu mendebarkan.

"Saya tidak menolak faktor cuaca panas dan kepenatan mengharungi perlawanan setiap hari menyebabkan persembahan pemain pada perlawanan hari ini sedikit terjejas dan mendebarkan," katanya, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau bersyukur nasib tetap menyebelahi pasukan AMD Dream apabila empat pemain yang diberi tugas mengambil sepakan penalti berjaya menggegarkan jaring gol lawan.

Ekhsan berkata, pada kejohanan kali ini dia mengambil pendekatan dengan menurunkan pemain yang berbeza pada setiap perlawanan, ia bertujuan sebagai pendedahan kepada pemain yang akan memikul lebih banyak tugas diperingkat kebangsaan dan antarabangsa selepas ini.

Bagi pemain AMD Dream, Muhammad Amirul Haziq, dia begitu gembira dengan kejuaraan yang diraih hari ini terutama selepas berjaya menyumbang gol tunggal pada masa sebenar.

"Kemenangan hari ini menjadi detik manis yang tidak mungkin dapat saya lupakan sepanjang beraksi dengan pasukan AMD Dream, ia akan menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha mencipta kejayaan dalam sukan bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 2:59 PM