PEMAIN NK Osijek cuba melepasi kawalan pemain AMD. FOTO AMD
PEMAIN NK Osijek cuba melepasi kawalan pemain AMD. FOTO AMD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Dream memulakan saingan kategori Bawah 14 (B-14) tahun Kejohanan Bolasepak Piala Supermokh 2023 dengan positif selepas mengikat juara bertahan dari Croatia, NK Osijek menerusi keputusan seri 1-1.

Pada aksi yang berlangsung di AMD Gambang, Pahang, NK Osijek dipaksa bermandi peluh pada aksi pertama kategori B-14 itu.

Kelab yang berpangkalan di Croatia itu terlebih dahulu di depan seawal minit ke-43 hasil jaringan Jakov Dedic sebelum Arfan Haziq Ahmad Marzuki menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50.

Ketua jurulatih AMD Dream, Ahmad Shahir menyifatkan keputusan seri satu keputusan positif dan langkah permulaan untuk ke pentas final.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pemain, cuma ada satu dua perkara perlu diperbaiki pada perlawanan seterusnya, terutamanya kesilapan mudah ketika bertahan.

"Untuk kejohanan kali ini sasaran pasukan adalah ke pentas final dan mengharapkan satu mata diraih akan menjadi langkah permulaan ke pentas final," katanya yang memilih NK Osijek, Buriram United (Thailand) dan Shonan Bellmare (Jepun) sebagai pencabar kejuaraan.

Bagi pengendali NK Osijek, Ante Bekavic pula, AMD Dream memiliki kualiti permainan yang bagus dan ia terserlah dalam perlawanan semalam.

"Perlawanan menarik dan bagus buat pasukan terutamanya pemain-pemain baharu yang dibawa, keputusan seri 1-1 adalah adil buat kedua-dua pasukan.

"Terima kasih kepada penganjur (Majlis Sukan Negara) yang mengadakan kejohanan untuk pemain-pemain muda membuktikan kemampuan dimiliki," kata Bekavic.

Dalam aksi lain, Sekolah Sukan Bukit Jalil / CZA NFDP (Malaysia) terpaksa akur apabila tewas 2-4 dengan Buriram United (Thailand).

SSBJ terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-21 menerusi gol dijaringkan Akif Akimi Azizan sebelum sembilan minit kemudian, lawan menyamakan kedudukan menerusi Phonphitak Rungrueang untuk kedudukan 1-1.

Buriram United mendahului SSBJ untuk kedudukan 2-1 selepas Natawan Tapabnam meledak gol kedua pada minit masa kecederaan separuh masa pertama.

Ahmad Haziq Hakimi memastikan keputusan kembali seimbang selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-41, namun hanya mampu bertahan enam minit apabila pemain Buriram United menjaringkan gol ketiga Sorawit Srilang sebelum Phanuwit Jeyakom meledak gol keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 4:52 PM