TAHAP kecergasan Messi masih cetus tanda tanya. FOTO AFP
TAHAP kecergasan Messi masih cetus tanda tanya. FOTO AFP
AFP

Montevideo: Peluang Lionel Messi untuk diturunkan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan masih lagi menjadi tanda tanya walaupun dia 'kelihatan bagus' dalam latihan, jelas jurulatih, Lionel Scaloni.

Messi kembali ke pangkuan penyandang juara Piala Dunia selepas sembuh daripada kecederaan dengan diturunkan sebagai pemain gantian separuh masa kedua ketika bersama Inter Miami hujung minggu lalu.

Messi bermain hanya 37 minit untuk kelabnya sejak 3 September, selepas kembali dengan kecederaan daripada tugasan antarabangsa bulan lalu.

"Kami masih mempunyai satu lagi sesi latihan dan sangat penting untuknya... Saya perlu berbincang dengannya dan pastikan kami yakin dia boleh disenaraikan dalam kesebelasan utama. Dia kelihatan positif. Berdasarkan itu, kami akan melihat seluruh pasukan," kata Scaloni.

Jurulatih Argentina itu berkata beliau juga perlu mengambil kira bahawa pasukannya akan menentang Peru di Lima lima hari kemudian.

"Apa yang membuatkan kami tenang ialah, jika dia tidak cergas untuk bermain, sesiapa yang keluar akan melakukannya dengan baik, itu yang paling penting," katanya.

Argentina memenangi kedua-dua perlawanan kelayakan mereka setakat ini dan menyamai enam mata di puncak carta bersama Brazil.

Satu lagi pilihan untuk Scaloni, sekiranya Messi tidak cergas, adalah menurunkan penyerang Manchester City, Julian Alvarez dan Lautaro Martinez dari Inter Milan sebagai gandingannya.

"Mereka sudah bermain bersama sebagai pemain kesebelasan utama. Saya terbuka kepada banyak perkara. Ia akan bergantung kepada perlawanan. Ia tidak akan menjadi masalah. Mereka berbeza, tetapi mereka boleh bermain," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 8:50 AM