LEWANDOWSKI meraikan jaringan keduanya ketika membantu Bayern mengalahkan Freiburg 3-1 di Allianz Arena semalam. FOTO AFP
LEWANDOWSKI meraikan jaringan keduanya ketika membantu Bayern mengalahkan Freiburg 3-1 di Allianz Arena semalam. FOTO AFP
AFP

BAYERN Munich mengintai gelaran treble musim ini selepas Robert Lewandowski mencatat pemain import paling banyak menjaringkan gol di Bundesliga tatkala penyandang juara itu berjaya mengalahkan Freiburg 3-1 semalam.

Werder Bremen pula semakin sah akan tersingkir dari Bundesliga apabila kalah kepada Mainz, manakala Borussia Dortmund menjamin tempat di tangga kedua liga selepas menang 2-0 ke atas RB Leipzig.

Aksi di Allianz Arena, bermula dengan Joshua Kimmich membuka jaringan buat Bayern sebelum Lewandowski meledak dua gol sebelum separu masa pertama tamat untuk membolehkannya mengumpul 33 gol liga dan 48 gol bagi kesemua kejohanan.

Penyerang Poland itu mengetepikan rekod terdahulu 31 gol yang dilakukan pemain antarabangsa Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang pada musim 2016/17 ketika bersama Borussia Dortmund sebelum berpindah ke Arsenal.

Bayern juga sudah tidak ada tekanan selepas mereka disahkan sebagai juara liga buat kali kelapan berturut-turut pada pertengahan minggu.

Mereka sekarang ini memburu treble apabila akan berdepan Bayer Leverkusen dalam perlawanan akhir Piala Jerman pada 4 Julai dan antara pasukan pilihan bagi saingan Liga Juara-Juara tatkala kejohanan itu akan bersambung Ogos depan.

"Jika anda mempunyai keyakinan, ia adalah kekuatan tambahan yang mampu mendorong anda mencapai kejayaan.

"Saya harap kami dapat mengekalkan perkara itu dalam tempoh lama. Banyak perkara kami harus lakukan. Sasaran kami selepas ini adalah meraih kejayaan di Piala Jerman.

"Sasaran berikutnya ialah Liga Juara-Juara, di mana kami cuba untuk mara sejauh mungkin," kata jurulatih Hansi Flick.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 9:42 AM