SEORANG peminat menghadiahkan jam tangan Rolex kepada Fabinho. FOTO Agensi
SEORANG peminat menghadiahkan jam tangan Rolex kepada Fabinho. FOTO Agensi
Agensi

Jeddah: Bekas bintang Liverpool, Fabinho dihadiahkan seutas jam tangan Rolex susulan penampilan sulung mengagumkan buat pasukan Liga Pro Saudi, Al-Ittihad kelmarin.

Pemain berusia 29 tahun itu melengkapkan perpindahan bernilai £40 juta (RM235 juta) dari The Reds bulan lalu dan bermula dengan cemerlang di liga negara Teluk apabila membantu pasukannya menang 3-0 ke atas Al-Raed.

Penampilannya yang begitu mantap menarik perhatian sehingga dia dihalang oleh seorang peminat ketika meninggalkan stadium dan menghadiahkannya seutas jam tangan Rolex.

Pemain Brazil itu gembira menerimanya namun malangnya jam tangan mahal itu tidak dipakai dengan kemas menyebabkan ia terjatuh serta-merta ke tanah.

Beberapa ketika pemain tengah bertahan itu kelihatan terkejut tetapi kemudian dengan tersenyum dia menunjukkan tiada kerosakan serius berlaku.

Selepas berbulan-bulan berdepan urusan perpindahan pemain, Liga Pro Saudi musim baharu 2023-24 bermula hujung minggu lalu dengan menampilkan kelibat beberapa pemain ternama.

Fabinho menyertai senarai skuad Al-Ittihad yang turut berjaya mendapatkan tandatangan pemenang Ballon d'Or Karim Benzema dan bekas pemain Chelsea, N'Golo Kante.

Awal pagi tadi, liga itu lebih diserikan lagi dengan kehadiran penyerang Paris Saint-Germain dan Brazil, Neymar yang menyertai Al-Hilal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 10:07 AM