AKSI Lucas Paqueta (kanan) yang membantu pasukan AC Milan menewaskan Cagilari, 3-0 dalam saingan Serie di Stadium San Siro. FOTO AFP
AKSI Lucas Paqueta (kanan) yang membantu pasukan AC Milan menewaskan Cagilari, 3-0 dalam saingan Serie di Stadium San Siro. FOTO AFP
AFP

MILAN: Pemain kebangsaan Brazil, Lucas Paqueta mendedikasikan jaring pertama bersama kelab barunya AC Milan dalam Seria A kepada mangsa tragedi kebakaran di bekas kelab Flamengo.

Kira-kira 10 remaja berusia antara 14 dan 17 tahun terkorban dalam kejadian kebakaran di pusat latihan remaja di kelab berpangkalan di Rio de Janeiro itu pada Jumaat lalu.

Paqueta menyertai Flamengo sejak berusia 10 tahun dan menghabiskan banyak masanya di pusat latihan itu, sebelum menyertai pasukan profesional pada 2016 untuk beraksi dan menandatangani kontrak 35 juta euro (RM161.07 juta) dengan AC Milan bulan lalu.

“Ia pastinya masa yang cukup sukar buat saya,” kata Paqueta.

“Impian seumur hidup saya beraksi untuk Milan dan menjaringkan gol pertama di Seria A namun adalah impian sama saya untuk berada dalam akademi remaja Flamengo dan saya tidak boleh melupakan mereka yang merasai pengalaman sama.

Paqueta beraksi 65 perlawanan dan menjaringkan 13 gol di Flamengo. Dia membuat penampilan pertama bersama Brazil ketika pasukan itu menewaskan Amerika Syarikat, 2-0 pada perlawanan persahabatan September lalu.

Paqueta (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya.
Paqueta (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya.

Pemain kelahiran Brazil itu membantu Milan menewaskan Cagliari, 3-0 malam tadi. Pemain pertahanan Cagliari Luca Ceppitelli menyumbat masuk gol ke gawang sendiri sebelum Paqueta menjaringkan gol kedua minit ke-22 dan seorang lagi pemain yang baru ditandatangani penyerang Poland, Krzysztof Piatek memastikan tiga mata buat pasukan itu.

Milan melebarkan rekod tanpa kalah liga dalam enam perlawanan dan kekal di kedudukan ke empat liga untuk memburu slot beraksi di Liga Juara-Juara, dan empat mata di belakang pasukan di kedudukan ketiga, Inter Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:01 AM