TIMBER menahan kesakitan akibat cedera lutut kanan ketika menentang Forest. FOTO REUTERS
TIMBER menahan kesakitan akibat cedera lutut kanan ketika menentang Forest. FOTO REUTERS
Agensi

London: Pemain pertahanan Arsenal, Jurrien Timber akan menjalani pembedahan lutut dan berita itu dianggap tamparan hebat buat Mikel Arteta.

The Gunners berdepan masalah kecederaan selepas pemain yang baru dibeli pada musim panas ini dijangka mengalami kecederaan 'anterior cruciate ligament' (ACL) ketika menang 2-1 ke atas Nottingham Foredt pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.

Isnin lalu, Mail Sport mendedahkan pemain antarabangsa Belanda itu cedera lutut yang serius dan dijangka tidak boleh beraksi selama beberapa bulan.

Kebimbangan itu terlerai selepas 48 jam susulan pemeriksaan lanjutan oleh pakar lutut.

Difahamkan, Timber kini akan menjalani pembedahan dan dijangka tidak boleh beraksi sekurang-kurangnya enam bulan pada musim ini, walaupun Arsenal enggan meletakkan jangkaan masa untuk tempoh pemulihannya.

Selepas tiba dari Ajax, Timber beraksi pada perlawanan kompetitif pertama menentang Forest sebelum digantikan pada babak kedua akibat cedera.

Dia berlaga pada babak pertama, tetapi kelihatan masih mampu bertahan dan boleh bermain pada awal babak kedua.

Timber tiba di Arsenal beberapa minggu lalu selepas perpindahan bernilai £40 juta (RM236 juta) dari Ajax.

Tetapi kini, dia dijangka menghabiskan musim pertamanya di England dengan mengikuti program pemulihan sebelum dijangka cergas sepenuhnya pada hujung musim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 10:20 PM