HODAK (kiri) memberi peringatan kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan dengan Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
HODAK (kiri) memberi peringatan kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan dengan Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak tidak mahu lagi barisan pemain terlalu 'santai' di atas padang pada pertemuan menentang Terengganu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur esok.

Beliau berkata, kekalahan 1-6 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah cukup memberi pengajaran bahawa tidak boleh terlalu leka hingga membuka ruang dan peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol.

Katanya, aksi menentang Terengganu cukup penting sebagai persiapan untuk mengharungi perlawanan akhir Piala FA pada 22 Julai ini.

"Saya mahu pemain lebih fokus dan pastikan kemenangan berpihak kepada KL City City dalam usaha menyuntik semangat menjelang aksi final Piala FA.

"Perlawanan Liga Super juga penting untuk saya menentukan siapa akan membarisi kesebelasan utama pada final kelak kerana mahu menurunkan yang terbaik untuk KL City.

"Terengganu adalah pasukan yang kuat sekali gus mampu menghalang KL City untuk membawa pulang tiga mata penting," katanya.

Sebelum itu, pengendali dari Croatia itu cukup 'bengang' apabila barisan anak buahnya beraksi seperti menjalani latihan sehingga pasukannya dibelasah 1-6 oleh JDT dalam aksi tertunda Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, baru-baru ini.

Malah, kehilangan lima tonggak utama akibat kecederaan juga menyukarkan Hodak untuk membariskan pemain terbaik sekali gus sukar untuk mencipta keputusan positif pada perlawanan itu.

Selain itu, Hodak berkata, perlawanan menentang Terengganu menyaksikan beberapa tonggak utama sudah bersedia diturunkan selepas pulih daripada kecederaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 1:54 PM