KL CITY ketika bertemu JDT minggu lalu. -FOTO NSTP
KL CITY ketika bertemu JDT minggu lalu. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC Bojan Hodak mahu meleraikan penantian tiga mata dengan memastikan kemenangan berpihak kepada skuad The City Boys pada pertemuan menentang Terengganu malam esok.

Bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Hodak mahu anak buahnya melupakan kekalahan tempoh hari kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bangkit pada pertemuan ketiga Liga Super itu.

Beliau berkata, walaupun keciciran lima mata selepas mengharungi dua perlawanan, Hodak optimis mampu meraih kemenangan apabila bertandang ke tempat lawan.

"Pada masa ini, saya tidak bimbang walaupun belum lagi meraih kemenangan kerana saingan Liga Super masih panjang seterusnya boleh perbaiki kelemahan pasukan.

"Perkara utama adalah pemain tidak lagi melakukan kesilapan mudah hingga memberi ruang dan peluang kepada lawan menjaringkan gol.

"Setakat ini, persembahan yang ditampilkan pemain memuaskan dengan masing-masing berusaha memberikan terbaik apabila disenaraikan membarisi skuad The City Boys," katanya.

Mengikut rekod, KL City yang dimiliki Rinani Group Berhad (Rinani) mencatatkan keputusan satu seri bertemu Penang dan tewas sekali kepada JDT seterusnya menghuni tangga kesembilan liga.

Selain itu, Hodak berkata, prestasi pasukan hanya boleh dinilai apabila mereka mengharungi 10 perlawanan sekali gus keputusan pada perlawanan sebelum ini tidak menggambarkan keseluruhan keadaan skuad.

"Jika sudah mengharungi sehingga 10 perlawanan, barulah kita boleh mengetahui situasi sebenar pasukan. Ketika ini, barisan pemain tidak lagi mempamerkan prestasi sebenar mereka mungkin atas faktor tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 4:38 PM