VIDA lakukan semua itu bukan untuk dirinya atau syarikat tapi demi rakyat Kelantan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
VIDA lakukan semua itu bukan untuk dirinya atau syarikat tapi demi rakyat Kelantan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida tidak akan menyatakan surat tawaran untuk mendapatkan Kelantan FC apabila memilih menunggu pemilik kelab itu, Norizam Tukiman yang menemuinya.

Kata Vida, sebaiknya Norizam yang perlu menghubunginya bagi membantu skuad The Red Warriors (TRW) yang kini berdepan pelbagai masalah.

"Saya tunggu dia (Norizam), sebab kalau saya cari dia, harga (nilai pembelian TRW) dah jadi lain. Saya takkan bagi surat macam yang dia cakap.

"Dia dah tahu ada orang nak tolong dia, patut dia tampil jumpa. Saya buat ini bukan untuk saya atau syarikat, tapi untuk rakyat Kelantan. Saya nak pulihkan maruah Kelantan FC," kata Vida ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Norizam mengakui sedia membuka meja perbincangan bersama Vida jika benar berhasrat untuk membeli kelab terbabit.

Jelas Norizam, Vida boleh mengemukakan cadangan harga untuk mendapatkan TRW dengan satu jumlah yang merangkumi nilai semasa kelab dan lain-lain babitkan pasukan.

Norizam juga akui nilai jualan sudah tentunya lebih tinggi daripada jumlah ketika dia membeli pasukan dari tangan Kafa pada 2019 dengan nilai RM6.8 juta.

Sementara itu, ditanya mengenai pandangan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah yang menjelaskan nilai TRW hanyalah RM1 juta, Vida menganggap ia nilai yang baik.

"Pada saya RM1 juta itu agak bersesuaian. Tapi sebenarnya bukan soal itu, soalnya selepas itu. Sebab kita perlu rancang semula pasukan dan teruskan perancangan-perancangan sebelum ini yang tertangguh.

"Perkara utama pasukan Kelantan perlu disusun semula dan kembalikan maruah pasukan," katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan pandangan Effendi yang juga ejen terkenal tempatan meletakkan tanda harga TRW pada nilai RM1 juta.

Kata Effendi, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Kelantan FC tanda harga itu meskipun Norizam membeli pasukan berkenaan daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) dengan nilai RM6.8 juta.

Perkara utama yang menyebabkan penyusutan nilai itu adalah kerana isu negatif yang menyelubungi TRW termasuk masalah tunggakan gaji, sekatan pembayaran penuh, kes tatatertib di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Fifa.

Malah pasukan itu juga tidak mempunyai pusat latihan sendiri, tidak memiliki stadium sendiri, keputusan perlawanan Liga Super yang teruk apabila tewas 11 aksi daripada 13 perlawanan untuk menghuni tangga tercorot serta pengurusan yang lemah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:42 PM