TERDAPAT aduan daripada penyokong City dan Inter pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara. -FOTO AFP
TERDAPAT aduan daripada penyokong City dan Inter pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara. -FOTO AFP
AFP

London: Presiden UEFA, Aleksander Ceferin mengakui "tidak semuanya sempurna" untuk peminat Manchester City dan Inter Milan pada final Liga Juara-Juara di Istanbul.

Penyokong City melaporkan isu mengenai pengangkutan ke Stadium Ataturk, di pinggir Istanbul, sebelum kemenangan 1-0 pasukan mereka untuk melengkapkan treble menentang Inter.

Terdapat juga aduan mengenai kekurangan tandas dan akses terhad kepada air menjelang perlawanan akhir pada 10 Jun.

Kelab Penyokong Bolasepak Eropah sedang mengumpulkan aduan peminat dari Istanbul untuk menyusun laporan bagi dibentangkan kepada UEFA.

Bercakap di Kongres Peminat Bola Sepak Eropah di Manchester, Ceferin menegaskan perlawanan akhir tahun ini "membuktikan UEFA belajar daripada kesilapan lalu."

Tetapi dia menambah: "Kami sedar bahawa di Istanbul tidak semuanya sempurna dan saya pastinya tidak memperkecilkan masalah yang dihadapi oleh sesetengah pihak.

"Tetapi marilah kita terus bekerjasama untuk menambah baik apa yang boleh kita perbaiki. Saya memikirkan khususnya mengenai rangkaian pengangkutan, untuk lebih memahami penyokong OKU dan akses kepada air dan tandas untuk semua orang.

"Saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa final Liga Juara-Juara tahun depan di Wembley dan Euro 2024 di Jerman akan menjadi pengalaman unik untuk peminat."

Ceferin juga merujuk isu serius yang dialami peminat Liverpool pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2022 menentang Real Madrid di Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 7:36 AM