HAMIDIN jelaskan bahawa FAM tolak jemputan Brazil, Argentina. -FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HAMIDIN jelaskan bahawa FAM tolak jemputan Brazil, Argentina. -FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ramai yang tidak tahu sebenarnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah menolak permintaan dua pasukan gergasi dunia iaitu Brazil dan Argentina untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada tahun lalu.

Situasi terbabit didedahkan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyatakan bahawa keputusan untuk menolak pelawaan atau permintaan dua pasukan gergasi itu adalah disebabkan masanya tidak sesuai memandangkan skuad Harimau Malaya dalam proses persiapan untuk mengharungi kejohanan Piala Asia.

Malah, Hamidin menjelaskan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon juga turut melihat pertembungan itu belum lagi realistik dan badan induk itu tidak mahu mengadakan perlawanan semata mata untuk meraih populariti.

"Brazil nak lawan (ketika Majlis Fifa) tetapi saya taknak kerana ini bukan masanya. Saya boleh buat kalau setakat nak tunjukkan (perlawanan pertunjukan) tetapi bukan masanya dan Pan Gon tak mahu.

"Kalau setakat main untuk populariti, mungkin mereka boleh dapatkan pasukan lain," katanya.

Selain itu Hamidin turut mendedahkan Argentina yang juga juara Piala Dunia 2022 pernah menjemput FAM untuk mengadakan aksi persahabatan pada tahun lalu namun terpaksa ditolak.

"Saya ada hubungan yang baik dengan Argentina juga dan mereka ada menjemput kita tetapi Pan Gon tak mahu. Kalau nak adakan persahabatan, kena pasukan yang realiti," katanya.

Sebelum ini, Indonesia berpeluang menguji Argentina yang diperkuat dengan beberapa bintang seperti Lionel Messi, Enzo Fernandez dan Julian Alvarez pada aksi persahabatan yang akan berlangsung di Jakarta pada 19 Jun ini.

Namun kedatangan Argentina bagi aksi persahabatan itu menimbulkan persoalan mengenai kos yang perlu dikeluarkan Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) dengan beberapa media melaporkan kosnya mencecah RM23 juta (74 milyar rupiah).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 1:45 PM