ZAQUAN perlu berehat selama enam bulan. FOTO Negeri Sembilan Football Club
ZAQUAN perlu berehat selama enam bulan. FOTO Negeri Sembilan Football Club
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang berpengalaman negara, Zaquan Adha Abd Razak mengakui reda apabila disahkan mengalami kecederaan 'Anterior Cruciate Ligament' atau singkatannya ACL buat kali kelima dalam kariernya.

Jelas Zaquan, dia memohon doa daripada peminat bola sepak tempatan untuk terus berdoa agar diberi kekuatan untuk menempuh dugaan ini.

"Alhamdulillah. Saya terima ujian ini dengan penuh reda. Sebab saya tahu Allah sayang saya. Ini adalah kali ketiga saya dapat ACL.

"Doakan yang baik-baik buat saya dan keluarga. Insyallah ada yang lebih baik dihadapan," kata penyerang Negeri Sembilan FC itu.

Dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Paroi pada 27 Mei lalu, Zaquan yang masuk sebagai pemain gantian bertembung dengan pertahanan Selangor FC, Fazly Mazlan hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan ACL itu.

Sementara itu, pihak kelabnya mengesahkan adik kembar pertahanan Johor Darul Ta'zim, Aidil Zafuan itu terpaksa diketepikan sehingga hujung musim ini.

Menurut kenyataan media Negeri Sembilan FC, Zaquan memerlukan rehat selama enam bulan untuk kembali pulih sepenuhnya.

"Zaquan bakal menjalani pembedahan pada lutut minggu hadapan. Dia memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk kembali pulih dari kecederaan," kata kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 3:34 PM