LEEDS semakin sukar untuk kekal di saingan EPL apabila tewas kepada West Ham. -FOTO Reuters
LEEDS semakin sukar untuk kekal di saingan EPL apabila tewas kepada West Ham. -FOTO Reuters
AFP

London: Leeds semakin hampir tersingkir daripada Liga Perdana selepas kekalahan 1-3 kepada West Ham dalam perlawanan kedua terakhir mereka musim ini.

Pasukan Sam Allardyce mendahului di Stadium London menerusi gol pembukaan Rodrigo namun dipadamkan oleh gol Declan Rice, Jarrod Bowen dan Manuel Lanzini.

Leeds kekal di tempat ketiga tercorot dan berada dua mata di belakang Everton di tangga keempat terbawah dengan kedua-dua pasukan hanya berbaki satu perlawanan.

Walaupun Leeds menewaskan Tottenham di tempat sendiri pada perlawanan terakhir musim ini, kelab Yorkshire itu masih akan tersingkir daripada liga jika Everton memenangi perlawanan terakhir mereka menentang Bournemouth di Goodison Park.

Leeds dengan perbezaan tiga gol daripada Everton, mengharapkan The Toffees untuk kalah bagi berpeluang terus bermain di liga utama itu.

Leicester yang menduduki kedudukan kedua tercorot, memerlukan tiga mata untuk kembali menghidupkan harapan tipis bagi mengelak penyingkiran memiliki baki dua perlawanan menentang Newcastle Isnin ini dan West Ham pada hari terakhir musim.

"Kami tidak menunjukkan kualiti apabila diperlukan. Jadi minggu depan mesti lebih baik untuk menewaskan Tottenham. Itu sahaja yang boleh kami lakukan," kata Allardyce.

"Pemain perlu membuat mereka susah, menggunakan cara yang betul, menewaskan Tottenham dan berharap keputusan lain memihak kepada kami."

Allardyce telah melabelkan perjalanan Leeds ke bekas kelabnya West Ham sebagai "final piala."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 8:23 AM