PENGENDALI PDRM FC, Azzmi tuntut anak buahnya bangkit lakar kemenangan. -FOTO Ghazali Kori
PENGENDALI PDRM FC, Azzmi tuntut anak buahnya bangkit lakar kemenangan. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketumpulan jentera serangan yang diketuai penyerang import dari Jepun, Bruno Suzuki dan Nigeria, Uche Agba jelas menghantui pendatang baharu Liga Super, PDRM FC apabila baharu meledak lapan gol daripada 11 perlawanan setakat ini.

Situasi itu didedahkan ketua jurulatihnya, Azzmi Ab Aziz yang meletakkan harapan tinggi agar anak buahnya mampu memanfaatkan peluang terhidang dengan jaringan apabila berdepan dengan pasukan kedua tercorot liga, Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Jelas bekas 'arkitek' skuad kebangsaan dan PDRM itu, beliau tidak rela tersungkur buat kali keenam berturut-turut yang menyebabkan mereka kini menghuni di tangga ke-10 liga selepas mengutip 10 mata.

Justeru jurulatih yang baharu musim pertama mengendalikan pasukan Liga Super mencabar pemainnya untuk kembali bangkit mengutip tiga mata penuh walaupun sedar bukan tugas mudah beraksi di laman lawan.

"Secara keseluruhan saya tidak nafikan anak buah berjaya memperagakan aksi bertenaga dan tersusun sebagaimana pada aksi ke-11 liga ketika berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) minggu lalu.

"Namun ketumpulan jentera serangan begitu memeritkan kami lebih-lebih lagi saya lihat pemain tidak mampu menjaringkan gol, ini membuatkan saya begitu kecewa dengan jentera serangan.

"Saya tidak mahu kami pulang dengan tangan kosong dan kalau boleh elak daripada merekod kekalahan keenam berturut-turut," kata Azzmi yang bakal merehatkan pemain yang tidak konsisten.

Mengulas lanjut, Azzmi akui lega apabila 'kereta kebalnya', James Okwuosa kembali bersama pasukan selepas digantung satu perlawanan sebelum ini susulan kad merah ketika berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 1:10 PM