JONES rai kejayaan ledak gol ketiga Liverpool. -FOTO Reuters
JONES rai kejayaan ledak gol ketiga Liverpool. -FOTO Reuters
AFP

Leicester, United Kingdom: Liverpool mencerahkan usaha mereka untuk ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas melakar kemenangan ke atas Leicester yang semakin hampir turun ke liga Kejuaraan apabila Curtis Jones meledak dua gol bagi memastikan kemenangan 3-0 di King Power.

Trent Alexander-Arnold melengkapkan prestasi terbaiknya dengan peranan baharu yang diberikan kepadanya melakukan rembatan menakjubkan untuk memastikan Liverpool semakin menghampiri kedudukan empat teratas apabila hanya ketinggalan satu mata.

Barisan pemain Jurgen Klopp masih berharap kejatuhan Newcastle atau Manchester United namun kemenangan ketujuh berturut-turut memberi tekanan kepada pesaing mereka yang kedua-duanya mempunyai baki tiga perlawanan berbanding Liverpool yang hanya ada dua perlawanan.

"Itu saja yang kami boleh lakukan," kata Klopp.

"Amat memalukan jika mereka tergelincir dan kami tiada di sana. Jadi kami kena buat kerja kami.

"Saya fikir kami boleh layak ke saingan Eropah yang mana enam minggu lalu ia seperti sukar."

Tujuh tahun selepas mengejutkan dunia dengan memenangi kejuaraan, Leicester kini bergelut di Liga Perdana dan memerlukan dua mata untuk keluar dari zon penyingkiran ketika mempunyai baki dua perlawanan dalam tangan.

Mereka akan berdepan satu lagi ujian sukar apabila berkunjung ke Newcastle Isnin depan dalam perlawanan yang boleh mengesahkan nasib mereka sekiranya Everton atau Leeds menang hujung minggu ini.

"Ia agak mudah, kami perlu menang aksi selepas ini," kata bos sementara Leicester, Dean Smith.

"Ia pastinya sukar di St James' Park. Ia pastinya bagus jika dapat mendahului."

Masalah pertahanan skuad Foxes sekali lagi terdedah hasil permulaan baik daripada tuan rumah dengan Jones meledak dua kali dalam tempoh tiga minit sepanjang setengah jam permainan.

Luis Diaz diberikan ruang untuk menerima bola hantaran jauh Alisson Becker sebelum dia memberikan kepada Mohamed Salah yang melintangkan bola buat Jones seterusnya mudah menahan untuk gol pembukaan.

Salah sekali lagi menjadi penyumbang selepas itu apabila Jones mengawal dan melepasi penjaga gol, Daniel Iversen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 7:31 AM