SKUAD Elavarasan wajib meraih tiga mata dan perlu mengelak daripada mengalami kekalahan kedua dalam Kumpulan B. FOTO Bernama
SKUAD Elavarasan wajib meraih tiga mata dan perlu mengelak daripada mengalami kekalahan kedua dalam Kumpulan B. FOTO Bernama
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Aksi 90 minit berdepan Vietnam di Stadium Prince, esok boleh dianggap sebagai detik paling mendebarkan buat skuad bawah 22 (B-22) tahun negara selepas mengharungi dua aksi di pentas Sukan Sea Kemboja 2023.

Ia kerana skuad Elavarasan wajib meraih tiga mata dan perlu mengelak daripada mengalami kekalahan kedua dalam Kumpulan B jika tidak mahu 'bungkus' awal dari temasya dwitahunan itu.

Benar bukan tugas mudah untuk menjinakkan Vietnam yang berstatus juara bertahan, namun itu sahaja jalan yang perlu diharungi anak buah E Elavarasan susulan kekalahan 0-2 kepada Thailand, semalam.

Kekecewaan berdepan Thailand harus dilupakan sepenuhnya dengan fokus utama barisan pemain 'Harimau Muda' ketika ini terarah kepada bagaimana mahu menjerat skuad Golden Star Warriors.

Perancangan taktikal terbaik diharap dapat dilakukan Elavarasan dan sudah pasti kem Vietnam juga sudah melakukan risikan atau analisis mengenai corak permainan Malaysia dalam dua perlawanan sebelum ini.

Selain taktikal, barisan pemain Malaysia perlu memperbaiki segala kelemahan termasuk masalah hilang fokus yang menjadi antara faktor mereka dihukum Thailand.

Bukan itu sahaja, pemain muda negara juga harus mempersiapkan fizikal dan mental mereka untuk berdepan Vietnam yang terkenal dengan corak permainan agresif serta sering melakukan provokasi dalam melemahkan kekuatan pasukan lawan.

Mendapatkan jaringan awal seperti yang dilakukan mereka ketika membelasah Laos 5-1 sebelum ini mungkin antara jalan terbaik buat skuad negara untuk menambahkan keyakinan dan memberi tekanan kepada Vietnam yang dibimbing Philippe Troussier.

Kelibat, penyerang muda kelab Hanoi FC, Nguyen Van Tung wajar diberi perhatian oleh benteng Malaysia dengan pemain berusia 21 tahun itu meledak gol ketika membantu pasukannya menewaskan Laos dan Singapura sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 2:41 PM