HAMIDIN (duduk tengah) menjelaskan bahawa perbincangan membabitkan semua CEO pasukan bersama MFL selalu diadakan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
HAMIDIN (duduk tengah) menjelaskan bahawa perbincangan membabitkan semua CEO pasukan bersama MFL selalu diadakan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Cadangan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya diadakan forum terbuka bersama pemilik kelab Liga Malaysia (Liga M) disambut baik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, saranan diadakan perbincangan antara pemilik pasukan bersama penyokong bola sepak tanah air itu dianggap elok.

Hamidin melihat, ia sebagai satu platform untuk meningkatkan kemajuan bola sepak tempatan secara bersama.

"Itu cadangan Tunku Ismail untuk forum terbuka bersama pemilik kelab dan semestinya satu cadangan yang baik," katanya.

Begitupun, Hamidin menjelaskan bahawa perbincangan membabitkan semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selalu diadakan.

"Liga ini di bawah MFL dan Datuk Ab Ghani Hassan selaku Presiden MFL dan Stuart Ramalingam selaku CEO sering mengadakan perjumpaan secara fizikal atau dalam talian dengan CEO kelab-kelab.

"Tetapi, mungkin dengan pemilik kelab belum ada lagi," katanya yang mengulas cadangan Tunku Ismail itu.

Terdahulu, Tunku Ismail mencadangkan satu forum terbuka diadakan untuk memudahkan penyokong bertanya sebarang persoalan mengenai perkembangan kelab masing-masing.

Malah, terdapat juga cadangan yang mahu FAM dan MFL bersama dalam forum terbuka itu agar agenda forum boleh diangkat sebagai agenda nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 5:16 PM