KIM Swee jurulatih Sabah FC.
KIM Swee jurulatih Sabah FC.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui masih terlalu awal memikirkan pengganti tonggak serangannya Njoku Jacob yang mencapai kata sepakat bersama pasukannya, Kelantan United untuk menamatkan kontrak beraama skuad Badak itu.

Hal ini kerana, bagi Kim Swee ketiadaan Jacob itu masih boleh ditampung dengan kehadiran enam pemain import termasuk Park Tae-soo, Telmo Ferreira Castanheira dan Saddil Ramdani.

"Kita masih mempunyai pemain import dan tempatan lain di mana saya percaya mereka mampu untuk mengawal permainan. Walaupun masih terlalu awal memikirkan mana-mana pemain namun kita akan cuba mendapatkan beberapa pemain untuk dinilai dahulu. Nanti kita akan memutuskan siapa yang akan ganti tempat Njoku (Jacob)," katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu pasukannya sudah bersedia menempuh perlawanan seterusnya di laman sendiri dan pertembungan menentang Terengganu di Stadium Likas pada 19 Mei akan menjadi fokus utamanya.

"Kita pun kembali berlatih seperti mana kebiasaannya dan tiada perbezaan dari segi taktikal yang ingin dilakukan. Prestasi pasukan yang ditonjolkan dalam tiga perlawanan sebelum ini perlu dikekalkan supaya tidak ketinggalan di kancah kedudukan Liga Super. Saya harap Sabah mampu mengekalkan rentak kemenangan di tempat sendiri nanti," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 6:22 PM