SHAW mengikat kontrak empat tahun bersama United. FOTO Agensi
SHAW mengikat kontrak empat tahun bersama United. FOTO Agensi
Agensi

London: Luke Shaw muncul antara pemain pertahanan bergaji paling mahal di Liga Perdana (EPL) selepas menandatangani kontrak baharu empat tahun bersama Manchester United hari ini.

Shaw mengikat kontrak dengan United pada harga £30 juta (RM165.45 juta) pada 2014 dan tampil 249 perlawanan dalam semua kejohanan.

Red Devils mengaktifkan kontrak lanjutan setahun pada Disember tetapi dengan perjanjiannya tamat 2024, kelab memilih mengikat Shaw lebih lama sehingga Jun 2027.

Bercakap kepada laman web United, Shaw berkata: "Sembilan tahun lalu, saya tandatangani bersama kelab hebat ini dan saya teruja dapat melanjutkan tempoh khidmat saya di sini.

"Karier saya meningkat sejak datang ke Manchester sama ada secara individu mahupun pemain. Saya tahu apa diperlukan untuk berjaya di kelab seperti ini."

Pemain antarabangsa England itu diberi ganjaran hasil kecemerlangannya dibawah kendalian Erik ten Hag dengan kenaikan gaji dilaporkan £200,000 (RM1.10 juta) seminggu sekaligus meletakkannya antara 10 pertahanan bergaji paling mahal di EPL bersama beberapa rakan sepasukannya di United.

Dia sebelum ini menduduki ranking kesembilan tetapi kini mengatasi kapten Harry Maguire yang menerima £189,000 (RM1.04 juta) seminggu.

Pertahanan bergaji paling mahal milik Raphael Varane yang meraih £340,000 (RM1.87 juta) seminggu manakala pemain Manchester City John Stones dan Liverpool Virgil van Dijk mengikuti rapat dengan masing-masing menerima bayaran £250,000 (RM1.37 juta) dan £220,000 (RM1.21 juta) seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 11:02 PM