Aksi Jadon Sancho dalam salah satu perlawanan Bundesliga. FOTO AFP
Aksi Jadon Sancho dalam salah satu perlawanan Bundesliga. FOTO AFP
Agensi

BORUSSIA Dortmund meletakkan tarikh akhir pada 10 Ogos ini untuk mempersetujui perjanjian bagi kontrak Jadon Sancho meninggalkan kelab itu.

Sancho menjadi sasaran perpindahan utama musim panas ini bagi kelab Inggeris, Manchester United.

Kelab Jerman itu dilaporkan belum mempersetujui pembayaran berperingkat membabitkan pemain sayap England berusia 20 tahun itu yang dianggarkan sekitar £108 juta (RM595.2 juta).

United pula dilaporkan tidak akan memenuhi tuntutan Dortmund untuk membayar jumlah penuh bagi seorang pemain yang masih terlalu muda.

Sancho dilaporkan akan menandatangani kontrak empat tahun dengan bayaran £220,000 (RM1.21 juta) seminggu, dengan pilihan lanjutan setahun lagi oleh United.

Sancho sudah bersama Dortmund dalam tempoh tiga tahun, selepas ditandatangani dari Manchester City pada Ogos 2017 dengan yuran sekitar £10 juta (RM55.23 juta).

Pada Julai lalu, Dortmund mengatasi United untuk menandatangani pemain tengah Inggeris berusia 17 tahun, Jude Bellingham dari Birmingham City dengan perjanjian mencecah £30 juta (RM165.45 juta).

Mereka juga membawa penyerang Norway, Erling Braut Haaland dari Red Bull Salzburg awal musim ini - iaitu seorang lagi pemain yang berada dalam senarai utama pemburuan skuad United.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 12:19 PM