LUKE SHAW
LUKE SHAW
Reuters​

LONDON: Pertahanan Manchester United, Luke Shaw bersetuju dengan pembaharuan kontrak selama lima tahun di Old Trafford, lapor media British, semalam.

Karier Shaw di United diganggu dengan prestasi hambar dan kecederaan sejak menyertai kelab itu dari Southampton dengan yuran perpindahan 27 juta pound (RM147.34 juta) pada 2014.

Begitupun pada musim ini, pemain berusia 23 tahun itu disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi tujuh perlawanan liga dan menjaringkan satu gol.

BBC melaporkan kontrak baharu pemain pertahanan kiri itu menyaksikannya menerima 150,000 pound (RM818,535) seminggu.

Prestasi konsisten bersama United turut menyaksikannya dipanggil semula menyertai skuad England selepas diketepikan bagi kempen Piala Dunia di Russia, tahun ini.

Shaw menjadi antara tonggak United ketika dikemudi bekas pengurus, Louis van Gaal sebelum kakinya patah dua bahagian ketika bertemu PSV Eindhoven pada September 2015.

Dia tidak beraksi selama dua bulan pada kempen 2016-17 berikutan masalah kecederaan pangkal paha dan mengharungi dua pembedahan di kaki.

Shaw bergelut untuk memikat pengurus Jose Mourinho pada musim lalu dengan pengendali dari Portugal itu mempersoalkan sikapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 12:55 AM