REAKSI Klopp pada pertemuan dengan City. FOTO AFP
REAKSI Klopp pada pertemuan dengan City. FOTO AFP
Agensi

London: Jurgen Klopp mendakwa hanya empat pemainnya beraksi pada tahap yang boleh diterima selepas kekalahan 1-4 kepada Manchester City di Stadium Etihad.

Skuad kendalian Klopp tewas selepas mendahului permainan menerusi Mohamed Salah, sekali gus menyaksikan peluang untuk memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah semakin pudar.

"Hanya empat persembahan yang okay dan ia amat sukar. Dua pemain tengah, Hendo (Jordan Henderson) dan Fab (Fabinho) bekerja keras, Cody Gakpo serta Alisson.

"Tetapi jika anda mahu mendapatkan sesuatu di sini, 14 atau 15 pemain perlu berada pada prestasi terbaik mereka dan ini tidak berlaku.

"City boleh lakukan apa yang mereka mahu kerana ruang terlalu besar. Kami bernasib baik tidak kena lebih daripada empat," kata Klopp.

Klopp mula berang apabila kedudukan kembali seimbang menjelang rehat, dan kemudian Liverpool membiarkan City mendahului 2-1 pada minit pertama babak kedua menerusi Kevin De Bruyne.

"Kami tidak cuba menghalang. Saya tidak tahu mengapa. Jika bertahan terlalu ke bawah, City akan memanfaatkan ruang.

"Kami dibolosi dengan dua gol pantas dan ia amat sukar untuk bangkit, tetapi ia akan jadi lebih sukar jika kami kekal begini," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 11:21 AM