Agensi

London: Penyerang Mesir, Mo Salah meminta gaji sebanyak £500,000 (RM2.874 juta) seminggu untuk terus kekal di Liverpool.

Pemain berusia 29 tahun itu dikatakan menjadi sasaran gergasi besar Sepanyol Real Madrid dan Barcelona.

Oleh sebab itu Liverpool baru-baru ini mengadakan rundingan dengan Salah dan ejen pemain itu untuk perjanjian baru.

Salah sebelum ini dikatakan ingin diberi penghargaan kerana penampilannya yang luar biasa dalam empat musim terakhirnya.

Dia nampaknya ingin menjadi salah satu pemain yang mendapat bayaran gaji tertinggi dalam Liga Perdana di samping pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Kevin De Bruyne.

Salah yang menjaringkan 31 gol dalam setiap pertandingan musim lalu, kini memperoleh £200,000 (RM1.149 juta) seminggu. Perjanjiannya akan tamat pada Jun 2023.

Laporan itu mengatakan bahawa Liverpool bersedia memberi kenaikan gaji yang besar kepadanya walaupun mereka terpaksa membuat kiraan semula gaji pemain untuk memenuhi tuntutannya.

Permintaan itu diteruskan selepas perbincangan beberapa minggu lalu gagal.

Pengurus Jurgen Klopp baru-baru ini memberi gambaran bahawa Salah akan ditawarkan syarat baru.

"Saya terbabit dalam hampir setiap perkara dalam kelab ini. Mungkin ada perbincangan berlaku tanpa saya, itu mungkin tapi selain itu saya tahu tentang semua perkara dan begitulah selalunya. Kami tidak benar-benar bercakap mengenai perkara seperti ini.

"Saya tahu kami mengubahnya sedikit dengan Hendo (Jordan Henderson) tapi itu tidak bermakna kami tidak akan bercakap mulai sekarang dan memberitahu anda mengenai setiap langkah kecil yang kami buat dalam sebarang rundingan.

"Mo jelas sekali berada dalam situasi yang sangat baik dan penampilan yang sangat hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 11:13 AM