KOGILESWARAN muncul pemain Malaysia pertama beraksi di Liga Korea.
KOGILESWARAN muncul pemain Malaysia pertama beraksi di Liga Korea.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas menanti lebih dua bulan, akhirnya pemain tengah negara iaitu R Kogileswaran berjaya membuat kemunculan di Liga Korea apabila diturunkan beraksi oleh kelabnya, Chungbuk Cheongju petang tadi.

Kogileswaran, 24, yang berhijrah ke kelab divisyen dua Korea Selatan itu pada Januari lalu disenaraikan dalam kesebelasan utama Chungbuk menentang kelab divisyen empat, Seoul Jungnang pada pusingan ketiga Piala FA Korea.

Dia bukan saja berjaya mendapat tempat, malah lebih manis penampilan pertamanya itu menyaksikan Chungbuk melakar kemenangan 3-0 untuk mara ke pusingan berikutnya.

Kepercayaan yang diberikan pengendali pasukan, Choi Yun-kyum nyata dibalas sebaiknya oleh bekas pemain Petaling Jaya City FC itu yang beraksi cukup baik sepanjang perlawanan.

Berdasarkan susunan posisi yang dikongsikan kelab itu sebelum perlawanan, Kogileswaran diletakkan di bahagian sayap dan beraksi selama 60 minit sebelum ditukarkan di pertengahan babak kedua itu.

Dua gol awal Chungbuk diraih sebelum Kogileswaran dikeluarkan, di mana Lee Jeong-tack mencetak gol pertama di minit ke-43 diikuti Seung-jae minit ke-55.

Gol ketiga pula dijaringkan pemain gantian, Kang Min-seung di minit ke-79.

Kejayaan diturunkan dalam aksi itu sebenarnya meletakkan bekas pemain kebangsaan itu sebagai pemain Malaysia pertama beraksi dalam saingan Liga Korea.

Ia juga dianggap permulaan baik buat anak tempatan apabila difahamkan dua lagi pemain utama skuad Harimau Malaya kini berada dalam radar kelab utama Korea untuk beraksi di saingan divisyen satu negara itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 10:19 PM