AKHYAR Rashid (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan, Faisal Halim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AKHYAR Rashid (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan, Faisal Halim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: "Syukur kepada Allah kerana memberi keizinan kepada saya meleraikan kemarau jaringan."

Itu luahan kegembiraan pemain sayap kiri Harimau Malaya, Faisal Halim yang akhirnya menemui sentuhah penyudah selepas buntu untuk mencipta jaringan sejak berpindah dari Terengganu FC ke Selangor FC pada musim ini.

Malah lebih manis pemain yang sinomin dengan panggilan `Mickey' menterjemahkan jaringan ketika bersama Harimau Malaya apabila membantu menewaskan Hong Kong 2-0 pada perlawanan antarabangsa Tier-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Bukan sahaja pemain kelahiran Pulau Pinang itu menjaringkan gol pada minit ke-41 babak kedua malah dia menjadi penggerak utama gol pertama skuad kendalian Kim Pan-gon selepas bertindak melorongkan bola untuk Akhyar Rashid menghasilkan gol pertama pada minit ke-18 perlawanan.

"Amat bersyukur kepada Allah kerana dengan izinNya saya melaksanakan tanggungjawab untuk membantu pasukan kebangsaan meraih kemenangan pada perlawanan menentang Hong Kong dan ia cukup beri kesan mendalam buat diri saya.

"Sepatutnya malam ini (malam tadi) saya menjaringkan lebih gol, namun bukan rezeki untuk saya dan ditakdirkan hanya satu gol sahaja yang mampu saya lakukan tapi ia sudah memadai kerana kami beraksi dalam satu pasukan dan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

"Tidak dinafikan kelibat Darren (Lok), Akhyar kerap membantu saya pada perlawanan ini selain pemain di belakang seperti Paulo (Jouse) dan Dion Cools yang sentiasa beri sokongan untuk saya mengekalkan momentum permainan," katanya.

Faisal juga menegaskan semua pemain memahami kehendak ketua jurulatih yang mahukan persembahan yang berkualiti dan berintensiti tinggi namun ia memerlukan sedikit masa lagi untuk mencapai sasaran itu.

Katanya, apa yang berlaku tidak boleh dielakkan tatkala pemain yang hadir menjalani latihan berbeza dan memerlukan masa untuk mengadaptasi corak permainan yang dipamerkan oleh setiap pemain dan ia bukanlah situasi yang membimbangkan sebaliknya boleh dipertingkatkan dalam tempoh singkat.

"Mungkin ada ketika tidak mencapai apa yang `coach' Kim mahukan tapi kita dapat menjalankan tangunggjawab yang baik selepas meraih dua kemenangan pada perlawanan antarabangsa sekali gus meningkatkan lagi motivasi setiap pemain.

"Apapun ia belum yang terbaik untuk skuad kebangsaan kerana kita perlu banyak melakukan penambahbaikan dan semua pemain perlu bekerja keras dan tidak boleh menoleh ke belakang malah harus terus bangkit dengan kualiti permainan yang lebih berintensiti tinggi," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:12 AM