SOLARI (kiri) Akhyar ketika sidang media selepas tamat perlawanan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SOLARI (kiri) Akhyar ketika sidang media selepas tamat perlawanan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan karakter setiap pemain yang begitu komited dalam permainan menjadi kunci utama kemenangan 2-1 menewaskan Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL), di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Jelas Solari, pemain JDT mempamerkan aksi luar biasa dan memberi persembahan bertenaga setiap minit permainan apabila menggandakan usaha dengan menguasai posisi dan beraksi corak permainan berintensiti tinggi.

Tambahnya, beliau percaya anak didiknya mampu menewaskan juara Liga 1 Korea (Liga K1) yang baru dinobatkan itu apabila beraksi di gelanggang JDT sejak kedua-dua pasukan membuat perhitungan di Stadium Munsu yang menyaksikan JDT tewas 1-3, 24 Oktober lalu.

"Kita hampir menterjemahkan aksi babak pertama dengan jaringan selepas menguasai permainan tetapi tidak bernasib baik untuk mencipta lebih dari satu jaringan ketika percubaan ketika sepakan Fernando (Forestieri), Bergson (Da Silva) dan Heberty (Fernandes) sekadar singgah ke palang dan tiang gol lawan.

"Pertembungan kali ini berbeza berbanding aksi di Stadium Munsu di mana kami bertahan dengan lebih baik dan pemain memberikan usaha tambahan di atas padang, dan yang paling penting karaktor setiap pemain yang tak pernah menyerah dapat diterjemahkan hari ini (semalam).

"Walaupun pihak lawan berjaya menyamakan kedudukan, kami tidak mengalah malah meneruskan usaha bertali arus melancarkan serangan ke kubu lawan. Ini kerana saya percaya kami mampu memenangi perlawanan ini, sebab itu saya membawa masuk Akhyar Rashid untuk menambah bisa jentera serangan dan ia berhasil.

"Saya berasa sangat gembira kerana bukan sahaja mampu menewaskan juara liga di Korea Selatan ini malah mencerahkan peluang kami untuk ke pusingan seterusnya, kejayaan ini adalah usaha keras pemain yang tidak berhenti berharap," katanya.

Pada perlawanan itu, Akhyar muncul wira pasukan apabila sentuhan pertamanya dalam perlawanan itu membolehkan JDT mengutip tiga mata sekali gus berkongsi mata dengan Ulsan Hyundai di tempat kedua Kumpulan I tatkala kedua-dua pasukan mengumpul enam mata dan hanya dibezakan dengan jaringan gol.

Dalam pada itu, Solari turut memuji kecekalan dan tekad barisan benteng pertahanan serta penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang beraksi cemerlang di minit-minit terakhir perlawanan menafikan percubaan demi percubaan menyekat hasrat skuad kendalian Hong Myung-bo mencuri satu mata.

Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, kemenangan itu menjadi pencetus semangat Harimau Selatan untuk meneruskan rentak kemenangan apabila berdepan dengan pendahulu Kumpulan I, Kawasaki Frontale di Stadium Todoroki, 28 November ini.

"Peluang kami masih ada dalam saingan ACL ini selepas menewaskan Ulsan dan sudah pasti tidak mahu langkah terhenti di sini. Saya percaya kami mampu lakukan kerana kami akan menjadi pasukan yang lebih baik berbanding hari ini.

"Satu tentang JDT, kami tidak pernah puas dan mahukan lebih daripada ini. Walaupun ia bukan tugas mudah, namun kami akan terbang ke Jepun untuk memberi tentangan hebat dan berusaha mencari jalan ke pusingan seterusnya," jelas Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 11:03 AM