TUNKU Ismail tidak kenal seorang pun pemain-pemain Malaysia pada 2013. FOTO Bernama
TUNKU Ismail tidak kenal seorang pun pemain-pemain Malaysia pada 2013. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilihan pemain yang menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) dilakukan sendiri oleh pemiliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bukannya menggunakan pencari bakat.

Katanya, pada awal penubuhan JDT sekitar 2013 lalu, beliau sendiri tidak mengenai seorang pun pemain tempatan dan ia sedikit mengganggu perancangannya untuk membawa masuk pemain berkualiti.

Malah katanya, tidak ramai pemain yang mahu menyertai skuad Harimau Selatan ketika itu serta masih tidak yakin dengan projek JDT.

"Pada 2013 saya tak kenal pun seorang pemain-pemain Malaysia, tapi Alhamdulillah sejak 2014 saya lebih kenal pemain-pemain dan mula untuk merekrut pemain.

"Tapi mula-mula tak ada orang nak masuk JDT sebab tiada keyakinan kerana mereka takut dan ingat bola sepak ini sekadar hobi sementara saya, lepas tu tak bayar gaji dan timbul pelbagai masalah pada masa akan datang.

"Susah juga pada mulanya untuk meyakinkan pemain-pemain masuk ke JDT," katanya yang sudah berjaya membina asas kukuh kelab dengan memiliki fasiliti sendiri termasuk Stadium Sultan Ibrahim yang serta moden.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga berkongsi tentang pemilihan tonggak import di mana beliau memberi tugasan berkenaan kepada Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

"Untuk pemilihan pemain import sehingga ke hari ini saya dapat bantuan dari pasukan saya iaitu dari Martin Prest dan Alistair Edwards yang mana mereka akan hubungi saya dan saya akan beritahu mereka apa type of players saya nak mereka akan beri beberapa pilihan.

"Selepas itu pasukan scouting terbang ke negara itu untuk ikut pemain itu selama dua minggu, bukan sahaja untuk melihat pemain itu bermain bola tetapi juga untuk melihat sikap dan perangai pemain itu boleh ke tak menimbulkan apa-apa masalah dalam pasukan," katanya.

Sejak pasukan Johor direvolusi kepada JDT pada 2013 lalu, gergasi bola sepak tempatan itu sudah berjaya menjulang sebanyak 22 trofi domestik termasuk sembilan kali muncul juara Liga Super berturut-turut sejak 2014 lalu.

Malah, pada 2015 JDT menjuarai Piala AFC serta layak ke Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 3:05 PM